Monday, 29 February 2016

WASATIAH (KESEDERHANAAN)

Wasatiyyah ialah elemen yang sangat penting dalam Islam. Islam menolak semua unsur ekstremisme dalam kehidupan manusia. Sikap melampau bukan sahaja ditegah dalam aspek kehidupan di dunia seperti pemakanan, mengumpul harta dan sebagainya. Malahan, dalam aspek keakhiratan seperti beribadat dan berzikir, sekiranya dilakukan secara melampau, juga tidak dibenarkan.
Islam amat menitikberatkan kesederhanaan dalam semua perkara kerana sifat kesederhanaan ini sesuai dengan fitrah manusia. Dalam aspek pemakanan umpamanya, Allah s.w.t. menyuruh manusia makan dan minum dari makanan dan minuman yang baik. Namun pada masa yang sama juga Allah s.w.t. mengingatkan manusia agar tidak melampaui batas.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
… dan makanlah dan minumlah dan (tetapi) jangan kamu melampaui batas kerana Ia (Allah) tidak suka orang yang melampaui batas.
(Surah al-A’raf: 31)
Melampaui batas dalam apa jua aktiviti sekalipun, termasuk dalam pemakanan merupakan sesuatu yang membahayakan diri manusia. Hal ini termasuk melakukan ibadat. Sikap melampaui batas dalam beribadat akhirnya akan menyebabkan seseorang berasa susah, tertekan dan akhirnya menjadi jemu.
Rasulullah s.a.w. mengingatkan umat Islam dalam sabdanya yang bermaksud:
Lakukan amalan ibadat (sunat) sekadar yang kamu mampu, kerana Allah s.w.t. tidak jemu sehingga kamu sendiri nanti yang akan jemu.
(HR. al-Bukhari)

Namun ini tidak pula bermakna umat Islam mesti bersederhana dalam melaksanakan akidah Islamiyyah. Ertinya beriman kepada semua rukun iman secara sederhana sahaja dan tidak benar-benar yakin. Keimanan kepada Allah dan semua rukun iman mestilah dilakukan dengan penuh yakin tanpa sebarang keraguan. Keimanan yang tidak kukuh dan ragu-ragu tidak diterima oleh Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment