Tawazun bermaksud ajaran Islam memberikan
perhatian yang seimbang kepada semua aspek kehidupan manusia; dari segi
individu dan masyarakat, rohani dan jasmani, kebendaan dan kerohanian serta
dunia dan akhirat.
Islam tidak membenarkan umatnya mementingkan diri sehingga
mengabaikan kepentingan masyarakat dan begitu juga sebaliknya. Islam juga tidak
membenarkan umatnya mementingkan aspek kerohanian semata-mata sehingga
mengabaikan aspek jasmani dan kebendaan dan begitu juga sebaliknya. Umpamanya,
seseorang tidak dibenarkan beribadat sepanjang masa sehingga mengabaikan
keperluan menjaga kesihatan tubuh badan atau mencari rezeki yang halal. Begitu
juga sebaliknya, umat Islam tidak dibenarkan mencari rezeki sehingga
mengabaikan kepentingan beribadat kepada Allah. Islam juga tidak membenarkan
penganutnya mementingkan aspek kehidupan dunia sehingga mengabaikan kehidupan akhirat,
begitu juga sebaliknya.
Islam memerintahkan agar kesemua aspek hidup manusia mestilah
digabungkan dalam satu gabungan yang seimbang, harmonis dan sepadu supaya
kehidupan manusia menjadi sempurna dan sejahtera.
Kepentingan ciri tawazun ini dapat dilihat dengan jelas dalam
firman Allah yang bermaksud:
… apabila kamu diseru untuk
menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah
dan tinggalkan jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.
Apabila solat telah dilakukan maka bertaburanlah kamu di muka bumi, carilah
kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.
(Surah al-Jumu’ah: 9 – 10)
|
Ayat di atas dengan jelas memerintahkan umat Islam untuk memberi
perhatian yang sewajarnya kepada kedua-dua aspek kehidupan di dunia dan
akhirat.
No comments:
Post a Comment