Thabat bermaksud tetap atau tidak berubah.
Dalam konteks ajaran Islam, ada perkara yang telah tetap dan tidak boleh
dipinda dan diubah-ubah dasar, prinsip dan perlaksanaannya. Antara perkara yang
termasuk dalam konsep thabat adalah
aspek akidah dan hukum-hakam amaliyyah yang dinyatakan secara pasti
dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
Konsep al-thabat dalam
aspek akidah dapat dilihat dari segi kepercayaan terhadap Allah s.w.t. yang
Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Perkara-perkara berkaitan akidah adalah
tetap dan tidak boleh dipinda atau diubah-ubah. Sementara dalam konteks
amaliyyah seperti ibadat solat, puasa, haji dan zakat telah ditetapkan cara dan
waktu perlaksanaan dalam syariat Islam. Begitu juga beberapa prinsip dalam muamalat
seperti pengharaman riba. Selain itu, hukum jenayah yang diwajibkan dalam
al-Qur’an dan al-Hadith seperti hukum hudud tidak
boleh diubah-ubah perlaksanaannya. Begitu juga hukum haram bagi perkara-perkara
yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah seperti khinzir, minum arak,
berjudi dan riba. Perkara-perkara ini ditentukan secara pasti dan tidak
mungkin berubah sampai bila-bila. Perkara-perkara seperti inilah yang termasuk
dalam konsep al-thabat.
Al-Murunah (anjal) pula bermaksud bahawa selain
daripada perkara-perkara dasar yang tidak boleh berubah, terdapat juga perkara-perkara
kecil yang boleh berubah mengikut kesesuaian dengan perubahan kehidupan manusia
sepanjang peredaran zaman. Hal ini menjadikan agama Islam yang diturunkan oleh
Allah s.w.t. sentiasa sesuai dan bersifat senang dan mudah untuk diamalkan.
Islam mementingkan kemudahan dan tidak sesekali menyusahkan umatnya dalam
mengamalkan segala ajarannya. Sebagai contoh, solat adalah wajib dan perlu
dilaksanakan mengikut ketetapan rukun. Walau bagaimanapun, jamak dan qasar
dibenarkan dalam solat sekiranya seseorang itu bermusafir. Ini terbukti bahawa
hukum Islam tidak statik, sebaliknya bersifat anjal dan fleksibel dengan
memberi keutamaan kepada keselesaan penganutnya.
Ciri menjaga kepentingan manusia ini dapat dilihat dengan jelas
dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Allah tidak sesekali
memberatkan seseorang itu kecuali dengan kadar upayanya. Baginya (pahala)
bagi kebaikan yang dikerjakannya, dan keatasnya (dosa) bagi kejahatan yang
dikerjakannya. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau seksa kami atas apa yang kami
terlalai atau silap padanya. Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau pikulkan
pekerjaan yang berat ke atas kami sebagaimana yang Engkau bebani ke atas
mereka yang sebelum daripada kami.
(Surah al-Baqarah: 286)
|
No comments:
Post a Comment