- Buku Sains teknologi dan kejuruteraan dalam islam
-http://www.slideshare.net/normurnimohamad/prinsip-syariah-dan-etika-islam-dalam-sains-teknologi
-https://yusreeyahaya.wordpress.com/2014/04/16/al-thabat-dan-al-murunah/
Prinsip Syariah Dalam Sains Teknologi Dan Kejuruteraan
Monday, 29 February 2016
KESIMPULAN
Kesimpulan dari apa yang saya pelajari dari tajuk ini, saya mengetahui 5 prinsip syariah iaitu rabbaniah, Wasatiah, Tawazun, Mizan dan tetap & anjal. Syariah jika dari segi istilah adalah merujuk kepada segala hukum yang disyariatkan oleh Allah kepada umat manusia melalui Rasulullah SAW. Jika kita dapat melihat melalui tajuk ini, Islam ini mudah tapi jangan dipermudahkan. Sebagai contoh islam membenarkan solat duduk jika tidak mampu berdiri dan islam membenarkan menggunakan arak sebagai sumber perubatan dengan syarat dalam keadaan darurat. Apa yang saya harap, orang islam lebih faham mengenai konsep syariah ini supaya mereka tidak mudah keliru. Sekian, yang baik datang dari Allah dan yang buruk datang dari diri saya sendiri. Apa yang baik dari penulisan blog ini kita ambil dan jika tersalah, maafkan saya, saya hanya manusia biasa. Sama-sama kita betulkan mana yang salah. Sekian terima kasih.
TETAP & ANJAL (MUTLAK & MURUNAH)
Thabat bermaksud tetap atau tidak berubah.
Dalam konteks ajaran Islam, ada perkara yang telah tetap dan tidak boleh
dipinda dan diubah-ubah dasar, prinsip dan perlaksanaannya. Antara perkara yang
termasuk dalam konsep thabat adalah
aspek akidah dan hukum-hakam amaliyyah yang dinyatakan secara pasti
dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.
Konsep al-thabat dalam
aspek akidah dapat dilihat dari segi kepercayaan terhadap Allah s.w.t. yang
Maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Perkara-perkara berkaitan akidah adalah
tetap dan tidak boleh dipinda atau diubah-ubah. Sementara dalam konteks
amaliyyah seperti ibadat solat, puasa, haji dan zakat telah ditetapkan cara dan
waktu perlaksanaan dalam syariat Islam. Begitu juga beberapa prinsip dalam muamalat
seperti pengharaman riba. Selain itu, hukum jenayah yang diwajibkan dalam
al-Qur’an dan al-Hadith seperti hukum hudud tidak
boleh diubah-ubah perlaksanaannya. Begitu juga hukum haram bagi perkara-perkara
yang dijelaskan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah seperti khinzir, minum arak,
berjudi dan riba. Perkara-perkara ini ditentukan secara pasti dan tidak
mungkin berubah sampai bila-bila. Perkara-perkara seperti inilah yang termasuk
dalam konsep al-thabat.
Al-Murunah (anjal) pula bermaksud bahawa selain
daripada perkara-perkara dasar yang tidak boleh berubah, terdapat juga perkara-perkara
kecil yang boleh berubah mengikut kesesuaian dengan perubahan kehidupan manusia
sepanjang peredaran zaman. Hal ini menjadikan agama Islam yang diturunkan oleh
Allah s.w.t. sentiasa sesuai dan bersifat senang dan mudah untuk diamalkan.
Islam mementingkan kemudahan dan tidak sesekali menyusahkan umatnya dalam
mengamalkan segala ajarannya. Sebagai contoh, solat adalah wajib dan perlu
dilaksanakan mengikut ketetapan rukun. Walau bagaimanapun, jamak dan qasar
dibenarkan dalam solat sekiranya seseorang itu bermusafir. Ini terbukti bahawa
hukum Islam tidak statik, sebaliknya bersifat anjal dan fleksibel dengan
memberi keutamaan kepada keselesaan penganutnya.
Ciri menjaga kepentingan manusia ini dapat dilihat dengan jelas
dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Allah tidak sesekali
memberatkan seseorang itu kecuali dengan kadar upayanya. Baginya (pahala)
bagi kebaikan yang dikerjakannya, dan keatasnya (dosa) bagi kejahatan yang
dikerjakannya. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau seksa kami atas apa yang kami
terlalai atau silap padanya. Ya Tuhan kami, Janganlah Engkau pikulkan
pekerjaan yang berat ke atas kami sebagaimana yang Engkau bebani ke atas
mereka yang sebelum daripada kami.
(Surah al-Baqarah: 286)
|
MIZAN (KESETARAAN)
Kesetaraan dalam syariat terlihat dalam
hokum hakam yang memberikan nilai yang selayaknya bagi sesuatu perkara.
Kesetaraan dalam syariat menuntut agar segala tindakan yang dilaksanakan
hendaklah meraikan keperluan dunia dan akhirat. Ia juga menuntut agar setiap
perkara yang dilaksanakan perlu ditimbang agar hukum hakam tidak menjadi korban
atas nama penyelidikan dan pembangunan.
Setiap perkara yang dilakukan hendaklah
mengambil kira item-item yang digunakan benar menurut sukatan atau had yang
ditentukan oleh syariat.
TAWAZUN (KESEIMBANGAN)
Tawazun bermaksud ajaran Islam memberikan
perhatian yang seimbang kepada semua aspek kehidupan manusia; dari segi
individu dan masyarakat, rohani dan jasmani, kebendaan dan kerohanian serta
dunia dan akhirat.
Islam tidak membenarkan umatnya mementingkan diri sehingga
mengabaikan kepentingan masyarakat dan begitu juga sebaliknya. Islam juga tidak
membenarkan umatnya mementingkan aspek kerohanian semata-mata sehingga
mengabaikan aspek jasmani dan kebendaan dan begitu juga sebaliknya. Umpamanya,
seseorang tidak dibenarkan beribadat sepanjang masa sehingga mengabaikan
keperluan menjaga kesihatan tubuh badan atau mencari rezeki yang halal. Begitu
juga sebaliknya, umat Islam tidak dibenarkan mencari rezeki sehingga
mengabaikan kepentingan beribadat kepada Allah. Islam juga tidak membenarkan
penganutnya mementingkan aspek kehidupan dunia sehingga mengabaikan kehidupan akhirat,
begitu juga sebaliknya.
Islam memerintahkan agar kesemua aspek hidup manusia mestilah
digabungkan dalam satu gabungan yang seimbang, harmonis dan sepadu supaya
kehidupan manusia menjadi sempurna dan sejahtera.
Kepentingan ciri tawazun ini dapat dilihat dengan jelas dalam
firman Allah yang bermaksud:
… apabila kamu diseru untuk
menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu mengingati Allah
dan tinggalkan jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui.
Apabila solat telah dilakukan maka bertaburanlah kamu di muka bumi, carilah
kurniaan Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung.
(Surah al-Jumu’ah: 9 – 10)
|
Ayat di atas dengan jelas memerintahkan umat Islam untuk memberi
perhatian yang sewajarnya kepada kedua-dua aspek kehidupan di dunia dan
akhirat.
WASATIAH (KESEDERHANAAN)
Wasatiyyah ialah elemen yang sangat penting dalam
Islam. Islam menolak semua unsur ekstremisme dalam kehidupan manusia. Sikap
melampau bukan sahaja ditegah dalam aspek kehidupan di dunia seperti pemakanan,
mengumpul harta dan sebagainya. Malahan, dalam aspek keakhiratan seperti
beribadat dan berzikir, sekiranya dilakukan secara melampau, juga tidak
dibenarkan.
Islam amat menitikberatkan kesederhanaan dalam semua perkara
kerana sifat kesederhanaan ini sesuai dengan fitrah manusia. Dalam aspek
pemakanan umpamanya, Allah s.w.t. menyuruh manusia makan dan minum dari makanan
dan minuman yang baik. Namun pada masa yang sama juga Allah s.w.t. mengingatkan
manusia agar tidak melampaui batas.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
… dan makanlah dan minumlah
dan (tetapi) jangan kamu melampaui batas kerana Ia (Allah) tidak suka orang
yang melampaui batas.
(Surah al-A’raf: 31)
|
Melampaui batas dalam apa jua aktiviti sekalipun, termasuk dalam
pemakanan merupakan sesuatu yang membahayakan diri manusia. Hal ini termasuk
melakukan ibadat. Sikap melampaui batas dalam beribadat akhirnya akan
menyebabkan seseorang berasa susah, tertekan dan akhirnya menjadi jemu.
Rasulullah s.a.w. mengingatkan umat Islam dalam sabdanya yang
bermaksud:
Lakukan amalan ibadat (sunat)
sekadar yang kamu mampu, kerana Allah s.w.t. tidak jemu sehingga kamu sendiri
nanti yang akan jemu.
(HR. al-Bukhari)
|
Namun ini tidak pula bermakna umat Islam mesti bersederhana
dalam melaksanakan akidah Islamiyyah. Ertinya beriman kepada semua rukun iman
secara sederhana sahaja dan tidak benar-benar yakin. Keimanan kepada Allah dan
semua rukun iman mestilah dilakukan dengan penuh yakin tanpa sebarang keraguan.
Keimanan yang tidak kukuh dan ragu-ragu tidak diterima oleh Allah s.w.t.
RABBANIAH (KETUHANAN)
Rabbaniah atau ketuhanan bermaksud segala hukum,
konsep, nilai dan peraturan yang terdapat di dalam Islam adalah ditetapkan dan
diwahyukan oleh Allah s.w.t. Ia bukanlah hasil pemikiran dan ciptaan manusia.
Peranan manusia hanyalah sekadar memahami, memperkembangkan dan melaksanakannya
dalam kehidupan mereka. Manusia, walau setinggi mana pun kedudukannya, tiada
hak untuk campur tangan dalam urusan ketuhanan seperti penentuan hukum haram,
halal, dosa, pahala, nilai baik, buruk, jahat dan sebagainya. Peranan manusia
dalam hal ini hanyalah untuk mengkaji dan mengenal pasti hukum Allah dalam
sesuatu perkara. Kemudian, setelah jelas kepada mereka tentang hukum tersebut
maka mereka perlu melaksanakannya dalam kehidupan.
Ciri-ciri rabbani ini
dinyatakan oleh Allah s.w.t. pada banyak tempat di dalam al-Qur’an. Antaranya,
firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah
turunkan kepada kamu kitab (al-Qur’an) dengan kebenaran, maka taatlah kepada
Allah dengan penuh keikhlasan kepada-Nya, ingatlah bahawa agama yang bersih (benar)
itu adalah milik Allah.
(Surah al-Zumar: 2 – 3)
|
Subscribe to:
Posts (Atom)